Godaan waktu hari raya memang kuat!!
Di Hari Raya , ramai yang ‘kalah’ dengan pelbagai juadah yang dihidangkan. Tidak hairanlah, mereka yang berjaya diet dalam bulan puasa pun kembali bertambah berat badan secara mendadak. Salah satu perkara yang boleh membantu kita ‘beringat’ adalah dengan mengetahui kalori makanan.
Saranan pengambilan kalori makanan berdasarkan Panduan Diet Malaysia, 2010 untuk orang dewasa (berumur 18 – 59 tahun) yang nomal adalah seperti berikut:
Lelaki dewasa : 2000 kcal/ hari
Wanita dewasa : 1500 kcal/ hari
Dalam satu hidangan utama, kita dinasihatkan untuk mengambil tidak lebih daripada 500 kcal.
10 MAKANAN BERKALORI TINGGI DI HARI RAYA
Berikut disenaraikan kalori makanan Hari Raya yang paling popular.
1. LEMANG
Lemang memang sedap. Rasanya lemak-lemak berbanding ketupat. Tapi awas, lemang adalah antara makanan yang paling banyak kalori di Hari raya.
Bayangkan, 1 potong kecil setebal 1 cm saja boleh menjangkau 100 kcal. Kalau 3-4 keping, dah 300-400 kcal! Itupun belum masuk rendang, serunding, ayam masak merah.
2. RENDANG DAGING
Menurut Dr Mohd Shaiful menerusi Malaysian Medical Gazette, sekiranya anda gemar makan rendang, pilihlah rendang ayam berbanding rendang daging. Bahagian ayam pula seeloknya yang kurang lemak dan tidak banyak kulit, seperti bahagian dada.
Lebih baik jika tuan rumah mengamalkan tabiat membuang kulit ayam sebelum memasak. Tuan rumah juga digalakkan mengunakan susu untuk menggantikan santan dalam rendang.
Rendang daging lembu (2 ketul) – 130 kcal
Rendang Ayam (1 ketul) – 148 kcal
Serunding daging (1 sudu) – 80 kcal
Ayam masak merah (1 ketul) – 140 kcal
3. KETUPAT PALAS
Selain lemang, ketupat palas adalah antara makanan yang paling tinggi kalori di Hari Raya. 1 biji ketupat palas (sekitar 50 g) memiliki kalori sebanyak 130 kcal. Di sesetengah tempat, ada yang suka menggoreng lagi ketupat palas ini. Tentunya, penggunaan minyak akan meninggikan lagi kalori dalam makanan ini.
Berbanding ketupat nasi yang mempunyai rasa lebih ‘plain’, ia hanya mengandungi sekitar 80 kcal.
4. NASI BERIYANI / NASI MINYAK
Menurut senarai kalori makanan yang disediakan, nasi minyak mengandungi lebih 2 kali ganda kalori berbanding nasi putih dalam kuantiti yang sama.
Nasi putih kosong mengandungi lebih kurang 260 kcal, manakala nasi minyak kosong pula adalah 445 kcal. Ini pun belum masuk kuah dan lauknya lagi. Dianggarkan satu hidangan nasi minyak atau nasi beriyani yang lengkap bersama lauk boleh mencecah 800-900 kcal!
5. KEK
Pencuci mulut yang satu ini kian menjadi popular di Hari Raya. Namun, tahukah anda bahawa kek, terutamanya kek keju adalah antara yang paling tinggi kalori, apatah lagi jika ia dihidangkan bersama sos coklat dan pemanis lain. Begitu juga dengan kek lapis Sarawak yang tidak kurang banyak kalorinya.
Berikut adalah perbandingan beberapa jenis kek lain yang biasa dihidangkan untuk Hari Raya.
Kek keju – 240 kcal
Kek lapis Sarawak (1 potong kecil) – 160 kcal
Kek biasa (tanpa krim) – 150 kcal
Kek buah – 130 kcal
6. KEREPEK
Kerepek memang enak dimakan sambil berbual dengan tetamu. Sedar tak sedar, dah habis sebalang! Sungguhpun makanan ini nampak ‘ringan, tapi sebenarnya kalori yang terkandung di dalamnya adalah berat. Ini adalah contoh jumlah kalori yang ‘tersembunyi’ di dalamnya:
Kerepek upi bercili (3 keping) – 50 kcal
Kerepek pisang masin (3 keping) – 40 kcal
Rempeyek (1 keping) – 70 kcal
Bayangkan, 1 keping rempeyek dah mengandungi 70kcal. Kalau makan 3-4 keping, dah sama macam makan secawan nasi putih. Kalau sebalang? Jadi, berhati-hati ya.
7. KACANG
Selain kerepek, kacang pun termasuklah dalam kategori kudapan yang paling laris. Kalau bukan tetamu yang makan, tuan rumahlah yang makan sambil tengok TV.
Kacang daripada jenis bergoreng dan kemudian disadur atau disira dengan perasa adalah tinggi kalori.
Kacang salut tepung (1 sudu makan) – 50 kcal
Kacang goreng (1 sudu makan) – 40kcal
Untuk pilihan makanan yang lebih sihat, pilihlah kekacang yang kurang masin, dipanggang (tidak digoreng), dan tidak ditambah perisa.
8. AIR MANIS
Di Hari Raya ini, tak salah nak minum minuman manis, tapi sebolehnya hadkan pengambilannya kepada 1 kali sehari. Jika kita sebagai tuan rumah pula, jangan lupa menyediakan air kosong untuk tetamu di samping beraneka minuman lain.
Tahukah anda, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, 1 tin minuman berkarbonat (air gas) telahpun memenuhi 60% had pengambilan gula dalam sehari?
Air gas (1 gelas) – 130 kcal
Air kotak / air manis (1 gelas) – 85 kcal
Air kosong – 0 kcal
9. DODOL & WAJIK
Dalam kategori kuih pula, dodol adalah antara kuih tradisional yang amat digemari. Rasa dan teksturnya yang kenyal, membuatkan kita mahu memakan dan mengunyahnya berulang kali.
Sebenarnya, dalam 1 potong dodol kecil (sekitar 20g), ia sudah memiliki 70 kcal, manakala wajik sekitar 60 kcal. Angka ini adalah agak tinggi jika dibandingkan dengan kuih-kuih lain seperti tat nenas, kuih bangkit, suji, dan sebagainya yang biasanya 40-50 kcal.
10. BISKUT RAYA
Sekecil-kecil biskut raya, ianya memang boleh buat kita rasa ketagih. Tambahan pula bila nampak pelbagai rupa biskut raya yang cantik-cantik di setiap rumah, kita rasa teringin nak mencuba setiapnya. Sedangkan, rasanya mungkin tidak banyak berbeza.
Secara amnya, biskut raya ini sekurang-kurangnya mengandungi 40kcal dalam setiap biji. Kalau makan 10 biji, kalorinya dah hampir menyamai 1 hidangan lengkap nasi berlauk. Maka, fikirlah 2-3 kali sebelum memakannya.
BUKAN MUDAH MENAHAN GODAAN DI HARI RAYA!!
Bukan mudah menahan godaan pelbagai jenis makanan di hari Raya. Kalau kita teringin nak merasa banyak jenis hidangan, seeloknya ambil makanan yang pelbagai dalam kuantiti sedikit. Taktiknya, gunakan piring kecil agar makanan yang diambil nampak banyak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan