Di Malaysia, "superfoods" popular seperti buah-buahan organik, salmon dan blueberries biasanya diimport dan dijual pada harga yang tinggi. Ini menjadi penghalang kepada mereka yang berhasrat mengamalkan gaya hidup pemakanan sihat kerana kos perbelanjaan yang tinggi.
Berikut merupakan superfood yang murah dan mudah kita dapati di pasaraya sekeliling kita. Jom amalkan memakan superfood dalam menu harian kita.
1. Halia
Halia, sejenis akar yang digunakan secara meluas dalam masakan tempatan. Selain untuk menambah rasa masakan, halia mempunyai banyak ciri-ciri farmakologikal. Lama sebelum halia dikategorikan sebagai "superfood", ia telah digunakan sejak beribu-ribu tahun dahulu bagi manfaat kesihatannya. Kajian telah membuktikan keberkesanan akar itu sebagai antioksidan dan agen antiradang. Ia juga terbukti berkesan melegakan rasa loya dan melindungi tubuh daripada penyakit tertentu.
2. Kunyit
Kunyit yang juga dikenali sebagai "Safron India", adalah satu lagi rempah yang cukup terkenal sebelum zaman perubatan moden. Penyelidikan makmal ke atas kunyit sejak beberapa dekad mendapati ia mengandungi banyak bahan dan elemen yang memberi kesan-kesan positif. Selain reputasinya sebagai agen antioksida yang kuat, ia juga mampu menghalang pertumbuhan patogen tertentu dan bakteria tidak baik dalam badan.
3. Manggis
Buah eksotik yang berwarna ungu ini, mempunyai reputasi sebagai buah mujarab kerana ia mempunyai kandungan antioksidan dan nutrien yang sangat tinggi. Berdasarkan hasil beberapa kaji selidik, pengambilan manggis mampu memantapkan lagi sistem imun dan sangat bermanfaat untuk kesihatan tubuh kita secara keseluruhannya.
Ekoran populariti buah ajaib ini, terdapat banyak pati jus manggis dalam botol yang dijual pada harga yang amat tinggi di pasaran hari ini. Bagaimanapun, berhati-hatilah dengan dakwaan keberkesanan produk ini kerana kebanyakannya tidak disokong secara saintifik.
4. Betik
Siapakah yang tidak suka menikmati sepotong betik sejuk pada hari yang panas? Betik atau dikenali sebagai "pawpaw" di beberapa negara lain, mengandungi beberapa jenis karotenoid yang banyak memberi manfaat kepada kesihatan. Dua daripadanya adalah zeaxanthin dan beta-karotena yang berperanan melindungi kesihatan mata.
Likopena adalah antioksidan karotenoid yang berpotensi menjadi pelindung bagi penyakit jantung. Tambahan pula, kandungan vitamin C dalam betik sangat tinggi. Satu buah betik bersaiz sederhana mengandungi lebih daripada 2 kali ganda jumlah vitamin C yang diperlukan dalam sehari! Betik juga padat dengan gentian serat dan kandungan air yang tinggi yang membantu meningkatkan kesihatan sistem penghadaman.
5. Bok Choy
Bok choy yang juga dikenali sebagai "kubis cina" adalah hero dalam kategori sayur cruciferous. Satu cawan sayur yang berbentuk bunga ini, membekalkan di antara 50-60% keperluan harian vitamin A dan C. Ia juga kaya dengan pelbagai nutrien yang lain seperti fosforus, zink, sodium, mangan, kalium, kalsium dan vitamin B dan K.
6. Tempe
Tempe digemari ramai pengamal diet vegetarian, tetapi bagi sesetengah orang pula, ia adalah cita rasa yang diperoleh. Tempe selalunya dimakan sebagai pengganti kepada daging kerana ia mempunyai tekstur yang hampir sama. Satu hidangan biasa 85 gram mengandungi lebih daripada separuh protein dalam satu stik! Kacang soya yang difermentasi ini padat dengan serat, kalsium, besi, lemak asid omega 3 dan vitamin B.
7. Tofu
Tofu amat popular dalam masakan Malaysia, terutamanya dalam masakan Cina. Kaya dengan kedua-dua protein dan isoflavon, pemakanan tofu sering dihubungkaitkan dengan pengurangan risiko penyakit berkaitan umur dan gaya hidup seperti penyakit kardiovaskular dan osteoporosis. Tambahan pula, tofu sangat rendah dalam kalori dan tidak mengandungi kolesterol!
8. Kimchi
Berikutan populariti makanan tradisional Korea ini, banyak penyelidikan telah dijalankan ke atas kimchi dan manfaatnya kepada kesihatan kita. Kimchi adalah makanan probiotik sayur yang menawarkan manfaat kesihatan yang hampir sama dengan yogurt, selain kelebihannya sebagai makanan berfungsi. Kajian menunjukkan, pemakanan kimchi mengurangkan kolesterol, meningkatkan kesihatan otak dan kulit, di samping mengukuhkan sistem imun.
9. Jambu Batu
Jambu batu mungkin kurang popular sedikit berbanding "superfoods" yang lain, tetapi ia padat dengan kelebihan kesihatan. Jambu batu mengandungi lebih banyak vitamin C berbanding buah oren. Ini membantu memantapkan sistem imun dan mencegah penyakit. Jambu batu juga padat dengan serat dan bertindak sebagai pelawas semula jadi.
10. Minuman Susu Kultur
Amalan meminum susu kultur setiap hari membantu menghalang pertumbuhan bakteria berbahaya dalam usus besar. Minuman yang mudah diperolehi ini mengandungi mikroorganisma hidup dan aktif yang diperlukan untuk sistem penghadaman dan imun yang lebih kuat. Ia turut mengurangkan risiko gangguan usus, seperti sembelit, cirit-birit, ulser, kembung perut, sendawa, nafas berbau, pedih hulu hati dan loya.
Kurangkan makanan tidak sihat (yang tinggi kandungan garam, gula dan lemak/minyak) dan amalkan aktiviti fizikal dalam rutin harian anda.
Pastikan juga anda memperuntukkan masa untuk memasak makanan berkhasiat di rumah menggunakan "superfoods".
Amalkan semua ini dan sudah pasti anda sekeluarga akan menikmati gaya hidup yang lebih sihat!
Sumber : BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan