1. Menilai tempoh setahun tidak semestinya hanya boleh disoroti dari kaca mata politik kepartian semata-mata — kita jangan terperangkap dalam persoalan sempit sama ada PH lebih baik atau buruk; ataukah BN lebih baik atau buruk. Kerana hakikatnya, dalam tempoh setahun ini, kita juga wajar menilai diri kita sendiri selaku rakyat marhaen dan pengundi. Sebab rakyat hanya akan mendapat pemimpin yang sesuai dengan pilihan dan tindak tanduk mereka sendiri sebagai rakyat.
2. Sewaktu Najib perdana menteri dan dia mendapati Peguam Negara waktu itu, Tan Sri Gani Patail, sedang merangka kertas pertuduhan untuk kes SRC International terhadapnya, Najib menyalahgunakan kuasa yang ada padanya untuk memecat Gani Patail. Peguam Negara baharu, Tan Sri Apandi Ali dilantik menggantikan, dan seperti dijangka, Apandi membersihkan Najib dari sebarang tuduhan salah laku.
3. Waktu itu, ramai yang menyokong Pakatan Harapan bising dan mengkritik tindakan Najib menyalahgunakan kuasanya. Maka istilah kleptokrasi mula dipopularkan.
4. Tetapi kemudian setelah PH berjaya mengambil alih tampuk kekuasaan, Tommy Thomas yang dilantik sebagai Peguam Negara adalah bekas peguam peribadi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Seperti dijangka, sebaik dilantik, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menarik balik pendakwaan terhadap Lim, walaupun perbicaraan telah separuh jalan. Bahkan SPRM pun terkejut dengan penarikan balik pendakwaan tersebut, walhal SPRM adalah agensi yang menyiasat kes tersebut, dan mengetahui sungguh bukti-bukti yang ada bagi menyabitkan kesalahan terhadap Guan Eng.
5. Ramai para penyokong UMNO-PAS bising dan marah atas tindakan Jabatan Peguam Negara melepaskan Lim tanpa melalui proses perbicaraan penuh di Mahkamah. Tetapi mereka ini adalah mereka yang senyap seribu bahasa ketika Najib melakukan perkara sama ketika menjadi Perdana Menteri, memecat Peguam Negara yang ingin mendakwanya, dan melantik Peguam Negara baharu yang dapat membersihkan namanya. Manakala mereka yang dahulunya marah benar dengan Najib itu pula, adalah mereka yang senyap seribu bahasa dengan tindakan Jabatan Peguam Negara di bawah teraju Tommy Thomas. Demikianlah kita berpusing-pusing.
6.Kita tak akan dapat bergerak ke hadapan sebagai sebuah negarabangsa yang bermaruah, selagi kita selamanya dipasung oleh rantai politik kepartian, sehinggakan kita tidak dapat menimbang yang mana baik dan buruk secara objektif. Apa saja yang dibuat oleh parti yang kita sokong adalah baik; apa saja yang dibuat oleh parti lawan adalah buruk dan kita bangkang. Ini adalah asobiyyah jahiliyyah.
7. Sewaktu konvensyen antarabangsa ICERD dibawa oleh kerajaan PH untuk ditandatangani, beberapa peguam dan ahli perundangan menyusun bantahan, dan membisikkan kepada NGO-NGO supaya bangkit, kerana mereka tahu bahaya ICERD yang secara jelas bercanggah dengan banyak peruntukan Perlembagaan, terutamanya menyentuh ketinggian Islam, dan kedudukan istimewa Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Perjuangan ini adalah perjuangan yang murni.
8. Tetapi kemudiannya orang-orang berkepentingan politik nampak peluang dari momentum kebangkitan rakyat menolak ICERD. Politikus menggunakan sesuatu isu bukan sangat untuk memperjuangkannya, tetapi lebih untuk menyerang seteru politiknya. “Isu” cuma bertindak sebagai kenderaan bagi dia tunggang sehingga matlamat politiknya tercapai. “Isu” juga bertindak sebagai peluru bagi mengisi senapang yang diacukan kepada lawan politiknya. Apabila tidak ada isu, mereka akan mencari-cari dan mengada-adakan isu.
9. Lalu Statut Rom dijadikan isu. Dicanang kononnya menggadaikan kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja. Walhal peguam kanan Tuan Haji Azril Mohd Amin telah menerangkan bahawa kedudukan Melayu, Islam dan Raja tidak tersentuh, dan Statut Rom tidak boleh disamakan dengan ICERD. Tuan Haji Azril bukanlah peguam liberal; beliau adalah peguam yang berhujah bagi pihak umat Islam dalam kes Lina Joy sehingga Mahkamah Persekutuan akur dengan hujahannya bahawa seseorang Muslim tidak wajar dibenarkan murtad di Mahkamah Sivil pada tahun 2006 dahulu. Kini beliau adalah pasukan peguam penyiasat yang ingin mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (di bawah Statut Rom) atas isu Palestin. Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid juga mengesahkan bahawa Statut Rom tiada kena mengena dengan Islam dan Melayu.
10. Tetapi semua ini tidak dihiraukan oleh orang politik (dan akademikus-politikus). Dan tentunya orang politik semakin naik syeikh, apabila ada anak raja yang dah lama berdendam dengan perdana Menteri Tun M, ikut sama menunggang isu Statu Rom. Walhal perseteruan di antara anak raja tersebut dengan Tun M bukanlah sangat mengenai Statut Rom — kita tahu ia adalah dendam lama kerana Tun M wujudkan Mahkamah Khas bagi memastikan Raja-Raja tidak bebas berbuat wewenang tanpa menghiraukan undang-undang. Tidak ada orang berakal waras yang akan membantah usaha bagi memastikan bahawa Raja-Raja mestilah tertakluk kepada undang-undang dan tidak boleh berbuat wewenang.
11. Kini ada pula usaha oleh sesetengah pihak untuk menunggang isu IPCMC (Suruhanjaya Bebas bagi Aduan terhadap Polis). Cadangan menubuhkan suruhanjaya ini adalah bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik dalam badan kepolisian — sebab jika terdapat salah laku oleh polis, sudah tentu ia tidak wajar disiasat oleh polis sendiri; justeru memerlukan badan bebas bagi menyiasatnya. Tiada orang yang berfikiran waras akan membantah usaha baik seperti ini. Tetapi mengambil momentum dari keputusan PRK di mana saluran-saluran di balai polis menunjukkan ramai anggota-anggota polis tidak berpuas hati dengan PH, maka para politikus menunggangnya dan cuba untuk membantah cadangan penubuhan IPCMC ini.
12. Segala isu-isu ini, dan banyak isu-isu lain lagi, sukar untuk dibincang secara objektif mengenai baik buruknya selagi mana kita terkepompong dalam sentimen kepartian yang terlalu tebal. Begitulah yang saya lihat sepanjang tempoh setahun ini. Kita terlalu membenarkan para politikus membentuk persepsi yang bukan-bukan, dan kita pula melulu percaya. Ini membuatkan saya teringat dengan tajuk buku M Subhan S.D, bahawa “Bangsa Mati di Tangan Politikus.”
*Gambar sekadar hiasan
Kredit : Aidil
Analisis selepas setahun Malaysia baru di bawah PH
Reviewed by cikguzim
on
Sabtu, Mei 11, 2019
Rating:
Tiada ulasan: