Sesetengah orang bernasib baik kerana dikurniakan Tuhan dengan tubuh badan yang sihat dari kecil hingga dewasa. Namun, itu tidak bermakna kita harus leka dan mengabaikan usaha untuk mengekalkan tubuh badan sihat.
Apabila usia meningkat, ketahanan badan akan menurun apatah lagi jika anda kurang mengamalkan gaya hidup sihat termasuk tidak bersenam, tidak mengambil pemakanan seimbang dan sentiasa mengalami tekanan hidup atau stres. Namun begitu, tidak kira apa jua berat badan anda, senaman adalah antara cara terbaik untuk mengurangkan risiko kanser. Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal mempunyai kesan positif dalam kebanyakan aspek kehidupan.
Ini termasuk yang berkaitan dengan kualiti hidup khususnya berat badan, tahap kesihatan seperti mencegah penyakit kanser, mengelakkan kanser berulang dan peningkatan kadar kesihatan setiap individu.
Kaedah seperti berikut mungkin boleh membantu anda mengurangkan risiko kanser:
1.BAKAR KALORI DAN LEMAK BADAN DENGAN KEKAL AKTIF
Gaya hidup yang aktif dapat membantu dalam meningkatkan tahap kesihatan. Antara cara untuk kekal aktif semestinya dengan bersenam kerana ini adalah kaedah terbaik untuk membakar kalori dan mengurangkan lemak badan.
Anda bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan tetapi anda juga berpeluang mendapatkan berat badan ideal, memiliki ketrampilan menarik dan berkeyakinan tinggi. Banyakkan pergerakan dengan memilih untuk berjalan kaki dan menggunakan tangga daripada menaiki kenderaan atau lif.
Jika anda memandu kenderaan, letak kenderaan di tempat parkir yang jauh dari pejabat agar anda boleh berjalan dengan langkah yang lebih banyak. Anda boleh menggunakan basikal atau kenderaan awam ke tempat kerja. Ia bukan saja mampu menyebabkan peluh keluar tetapi penggunaan basikal dan kenderaan awam juga dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida di udara.
Selain itu kaedah membina otot juga boleh membantu, ini kerana walaupun anda berehat, badan akan tetap membakar kalori. Setiap satu kilogram otot membakar enam kalori sehari untuk terus hidup.
2. TINGKATKAN OKSIGEN DALAM BADAN
Oksigen membantu tubuh untuk menggantikan sel-sel lama kepada sel-sel baru. Tanpa oksigen yang mencukupi, badan kita tidak dapat menghasilkan tenaga dan metabolisme badan akan menurun. Ini menjadikan kita kurang efektif dalam kehidupan seharian.
Antara kaedah terbaik untuk meningkatkan oksigen dalam badan adalah dengan meminum lebih banyak air kerana ia mampu mengawal suhu badan dan membawa nutrien dan oksigen. Selain itu aktiviti bersenam seperti berbasikal atau berlari juga boleh membantu tubuh anda dengan mengerjakan jantung dan saluran darah dengan mengalirkan darah yang tinggi dengan kandungan oksigen ke seluruh badan. Amalkan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari.
3. LANCARKAN PERGERAKAN USUS BAGI MEMBUANG TOKSIK DALAM BADAN
Amalkan pengambilan serat kerana ia membantu melancarkan pergerakan usus, mengelak masalah sembelit dan membantu menurunkan berat badan.
Selain itu, pengambilan air kosong juga mampu membantu mencuci usus dengan menyingkirkan bahan toksin melalui perkumuhan seperti peluh dan air kencing.
4. MENGIMBANGKAN HORMON YANG MENGURANGKAN RISIKO KANSER PAYUDARA
Hormon berperanan penting untuk memastikan keremajaan dan kualiti kesihatan seseorang. Hormon juga adalah bahan kimia yang dihasilkan oleh kalenjar endokrin yang memiliki kesan tertentu kepada aktiviti organ lain dalam tubuh.
Terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan kaitan antara ketidakseimbangan hormon dan kanser payudara.
Walaubagaimanapun, ketidakseimbangan hormon boleh diatasi dengan menjaga pemakanan anda.
Oleh itu, hidangan makanan perlu diiringi protein, karbohidrat dan lemak yang seimbang. Antara amalan pemakanan yang boleh anda lakukan adalah makan ikan yang tinggi dengan lemak Omega-3 seperti salmon dan sardin, minum teh hijau yang tinggi anti-oksida, dan gunakan lemak sihat seperti minyak kelapa dan minyak kelapa sawit semasa memasak.
5. MENGIMBANGKAN METABOLISME DALAM BADAN
Kadar metabolisme yang seimbang juga penting dalam meningkatkan tahap kesihatan yang sekali gus mampu mencegah penyakit kanser. Antara kaedah untuk mengimbangkan metabolisme dalam badan adalah dengan makan secara kerap.
Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap membantu metabolisme badan membakar kalori sepanjang masa. Kajian menunjukkan mereka yang makan secara kerap jarang makan berlebihan.
Selain itu, makan makanan seimbang, ini penting untuk kesihatan dan kecergasan anda. Pilih makanan bernutrisi tinggi. Badan membakar lebih banyak kalori ketika mencernakan protein berbanding mencernakan karbohidrat dan lemak.
Sumber : aia
Cara untuk kurangkan risiko kena kanser
Reviewed by cikguzim
on
Selasa, Mei 14, 2019
Rating:
Tiada ulasan: