Harga lemang memang mahal sekarang, apa kata kita google dan cari cara membuat sendiri lemang daun pisang. Selain menjimatkan, hati pun puas dan boleh dibuat lebih banyak cuma apa yang perlu adalah masa dan kesabaran kerana proses memasak lemang yang berjam-jam lamanya. Zasss jom kita lihat cara buat lemang buluh daun pisang.
Lemang merupakan makanan tradisi masyarakat melayu yang sangat digemari bukan sahaja oleh orang melayu, malah masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sangat menggemari masakan lemang ini. Ianya biasanya disediakan semasa sambutan musim perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Qurban. Lemang biasanya dinikmati bersama rendang (ayam, kerang atau daging) dan serunding kelapa.
Bahan utama pembuatan lemang adalah beras pulut dan dicampur bersama santan kelapa yang pekat. Ianya akan dilapik bersama daun pisang dan di letakkan di dalam buluh lalu dibakar sehingga masak. Bau bakaran dari buluh lemang pasti menarik perhatian sesiapa sahaja yang ingin menikmatinya.
LEMANG TRADISIONAL
Lemang tradisional disediakan dengan menggunakan buluh lemang yang boleh didapati di belukar dan hutan. Buluh tersebut akan di potong sepanjang 80 cm dan dibersihkan agar tiada apa apa unsur yang menumpang di dalam batang buluh tersebut. Kebanyakkan pengusaha lemang tradisional akan memilih buluh lemang yang agak tebal dan besar berbanding buluh biasa kerana buluh yang nipis tidak sesuai kerana dikhuatiri buluh akan mudah pecah apabila dibakar.
Daun pisang dari pokok pisang awak, pisang kapas dan pisang hutan boleh digunakan untuk memasak lemang. Daun pisang akan memberikan aroma yang akan membangkitkan selera kita untuk menikmatinya. Daun pisang yang terlalu tua atau terlalu muda tidak sesuai untuk digunakan sebagai pelapik beras pulut kerana ia akan mudah pecah lalu menyebabkan santan kelapa akan terkeluar dan bocor. Daun pisang perlu dilap dan di potong mengikut kesesuaian buluh.
Proses pembakaran lemang memakan masa hampir 4 hingga 5 jam bergantung kepada tahap pembakaran yang dikenakan. Api bakaran yang sederhana diperlukan bagi memastikan beras pulut di dalam buluh masak, tidak mentah dan tidak rentung. Pemilihan kayu api yang sesuai juga amat penting bagi memastikan bara api yang dihasilkan boleh memberikan kesan pembakaran yang baik sehingga lemang betul betul masak.
Berikut merupakan cara untuk pembuatan lemang
1 kg beras pulut
1 kg santan kelapa pekat
1 sudu besar garam
Daun pisang
Buluh lemang yang telah dipotong dan dibersihkan
Cara-caranya
1.Beras pulut direndam semalaman dan ditoskan sehingga kering
2.Masukkan daun pisang yang telah dilipat dan dimasukkan ke dalam buluh
3.Masukkan beras pulut ke dalam buluh ¾ penuh dan di hentakkan perlahan-lahan buluh tersebut supaya
beras pulut penuh dan padat.
4.Santan kepala yang pekat dicampur dengan garam dituang ke dalam buluh sehingga penuh
5.Tambahkan sedikit beras pulut sehingga penuh buluh tersebut
6.Lemang dibakar di bawah bakaran api sederhana sehingga 4-5 jam
7.Buluh lemang perlu diperbalik balikkan batangnya supaya ianya masak dengan lebih sekata dan tidak
rentung (bukan satu bahagian sahaja yang masak)
8.Setelah masak, biarkan ianya sejuk selama 1 jam sebelum dipotong dan dihidangkan
Tambahan : Selain dibakar, boleh juga lemang itu direbus terlebih dahulu. Caranya isi lemang-lemang tadi kedalam bekas tin besar dan rebus di atas api kira-kira 3-5 jam juga, kemudian barulah dibakar menggunakan cara tadi.
LEMANG MODEN
Akibat kesibukan dan kekangan masa di zaman dunia teknologi tinggi ini menyebabkan sukar untuk kita menyediakan juadah lemang ini. Kebanyakkan dari kita memberikan alasan seperti “ bakar lemang makan masa 4 hingga 5 jam, tiada tempat yang sesuai untuk bakar lemang, mana nak cari buluh, daun pisang dan kayu nak bakar lemang” dan pelbagai alasan lagi. Permintaan tinggi dari pihak penyedia makanan seperti restoren, hotel dan syarikat penerbangan untuk menyediakan juadah lemang kepada pelanggan dalam tempoh masa yang singkat (kurang dari 1 atau 2 jam dan dalam kuantiti yang banyak) telah mendorong pelbagai kajian dan penyelidikan dari pelbagai agensi kerajaan, universiti penyelidikan dan kolej politeknik untuk menghasilkan lemang moden. Lemang moden yang dihasilkan masih mengekalkan rasa lemang asli yang enak dan sedap namun kaedah penghasilan lebih singkat, kuantiti banyak dan ianya mesra alam.
Bahan untuk penghasilan lemang menggunakan mesin pembakar lemang atau lemang besi ini sama seperti bahan penghasilan lemang tradisional. Ianya masih menggunakan daun pisang sebagai pelapik, beras pulut dan santan pekat. Perbezaannya adalah tiada penggunaan buluh dan tiada kayu api.Beras pulut yang dimasukkan ke dalam kelonsong besi yang telah dilapik dengan daun pisang akan dimasukkan ke dalam dapur elektrik mesin pembakar lemang dan dimasak selama 1 atau 2 jam.
Kelonsong besi tersebut tidak perlu diperbalikkan kerana haba yang terhasil akan memanaskan besi tersebut dan memasakkan beras pulut itu. Tiada kerak lemang yang akan terhasil berbanding dengan lemang yang dibakar secara tradisional. Penggunaan mesin pembakar lemang ini lebih mudah dan praktikal kepada semua pengusaha lemang tanpa mengubah rasa asli lemang. Menurut pihak MARDI, hampir 100 unit mesin pembakar lemang telah dijual kepada pengguna.
LEMANG SEGERA
Selain dari pada penggunaan mesin pembakar lemang, pengguna masih boleh lagi menikmati lemang dengan pembelian lemang segera yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat pengeluar makanan seperti Syarikat Nona dan Adabi. Lemang segera ini boleh didapati di mana mana pasaraya atau kedai runcit dengan harga RM 3.99 dengan kandungan 6 pek plastik lemang yang telah diisi dengan beras pulut.
Lemang segera ini perlu direndam pek beras pulutnya selama 1 jam dan direbus seperti merebus ketupat nasi samada di dapur elektrik atau dapur gas. Pek bungkusan lemang ini diperbuat daripada plastik jernih tahan panas dan berbentuk silinder panjang. Serbuk santan segera juga disertakan di dalam pek tersebut. Setelah masak, lemang ditoskan air dan dibiarkan sejuk sebelum dipotong kecil dan dimasukkan ke dalam bekas makanan. Ianya boleh tahan lama sehingga 2 hari juka disimpan dengan baik di didalam perti sejuk.
Rasa lemang segera ini masih kekal seperti lemang tradisional. Ianya lebih mudah, praktikal dan menjimatkan masa pengguna bagi menyediakan juadah makanan kepada tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Kini, pengguna tidak perlu menunggu musim perayaan untuk menikmati juadah ini, kerana ianya mudah didapati di mana mana pasaraya atau kedai runcit dengan harga yang berpatutan.
Cara buat lemang daun pisang
Reviewed by cikguzim
on
Isnin, Mei 13, 2019
Rating:
Tiada ulasan: