Mana hilangnya pendekar Melayu?

Oleh Nami Cobb Nobbler

Sepanjang dua tiga hari ini, aku menghabiskan masa menonton drama bersiri pendekar berjudul Keris Hitam Bersepuh Emas. Kisah Bitara (lakonan Eman Manan) mahu menyempurnakan amanat gurunya iaitu Pendeta Arif. Selain itu, rakan-rakannya seperti Sang Guna, Agam, dan Hang Perkasa serta Sali dan Jempol mengembara untuk menewaskan musuh utama, Adi Jaya.


Selain itu, terdapat konflik politik seperti Pendekar Saga dan Adi Jaya, seorang Jawa yang berkomplot dengan Peringgi (aka Portugis) dalam usaha menawan daerah yang dipimpin Datuk Malela.

Walaupun cerita ini jelas adalah untuk mempromosi rokok Perilly's (hitam emas adalah warna jenama rokok tersebut), tetapi siri drama ini adalah drama persilatan Melayu yang setakat ini paling diingati ramai orang yang pernah menempuh zaman 1990-an.

Lalu aku terfikir, mana perginya semua cerita pendekar Melayu zaman sekarang ni?

Mitologi, adalah cerita dongeng yang membentuk ketamadunan sesuatu bangsa. Seperti cerita-cerita samurai di Jepun, atau cerita kung fu dan cerita seperti Journey To The West oleh China. Di UK mereka ada Robin Hood, dan mitologi Greek seperti Zeus.

Antara mitologi yang paling lama bertahan di dunia setakat yang kita tahu ialah mitologi Hammurabi yang menceritakan ketamadunan di Mesopotamia.

Dan bagaimana pula dengan mitologi kontemporari seperti Superman, Batman, Spiderman, Ironman, Star Wars, atau Harry Potter? Atau Game of Thrones?

Semua ini membentuk ketamadunan bangsa melalui penceritaan atau satu idea yang menggambarkan visi bangsa tersebut.

Malangnya, kita orang Melayu tidak lagi mahu melihat orang Melayu menjadi 'hero' pada bangsa sendiri, lalu mencari mitologi bangsa lain sebagai satu usaha mencari identiti diri.


Menurut ahli falsafah Swiss, Carl Jung, berkata, mitologi adalah satu cara melalui psikologi, untuk mengekspresi cita-cita sesuatu masyarakat. Alan Dundes, pengkaji mitologi dunia dari University of Berkeley berkata, mitologi adalah naratif suci yang menceritakan tentang bagaimana dunia dan masyarakat berevolusi hingga menjadi masyarakat hari ini.

Kita lihat saja betapa pentingnya mitologi untuk bangsa Jepun, bangsa yang cipta jamban yang bukan sahaja boleh cebok bontot kita secara automatik, tetapi jamban mereka begitu canggih sampai ada muzik, ada boleh pilih pancutan laju atau perlahan.

Bangsa yang macam tu punya maju pun, masih mementingkan mitologi ceritanya melalui siri kartun animenya seperti Naruto atau One Punch Man.

Bahkan dalam usaha menaikkan semangat kaum kulit hitam di Amerika, filem Black Panther dihasilkan dan berjaya mengutip hingga berbilion dolar, tetapi perkara lebih utama, sebagai naratif kepada semangat Black Lives Matter mereka.

Jadi, di mana cerita kita sebagai orang Melayu? Takkan kita nak ulang lagi cerita Hang Tuah dan Hang Jebat? Dan saya percaya ramai manusia Melayu hanya tahu perkelahian Tuah dan Jebat sambil menganggap Kasturi, Lekir dan Lekiu sekadar pak pacak yang sekadar memeriahkan suasana. Buat ramai je.

Cerita lain seperti Laksamana Bentan, Si Bongkok Tanjung Puteri, dan Raja Bersiung makin dilupakan remaja Melayu dan digantikan dengan mitologi bangsa lain seperti Naruto atau Deadpool.

Cerita-cerita kita hanyalah cerita yang bersifat anak datuk yang bercinta dengan perempuan ini tetapi perempuan lagi satu cuba berebut dan mak mentua tak suka awek anak datuk.

Dengan alasan, "market". Mana awak tau itu je "market" yang ada sedangkan ramai lagi orang menghabiskan duit menonton setiap mitologi Marvel atau Disney atau beli DVD Naruto sampai beratus episod?

Sudah sampai penerbit filem atau drama mula sedar yang mitologi adalah satu pembinaan bangsa. Kalau Jepun yang boleh reka jamban ada muzik tu pun pentingkan mitologi, takkan kita tak boleh? Takkan kalau kita kata kita nak cerita mitologi, pemikiran kita mundur?

Sebab kita tiada mitologi yang baru untuk bangsa kita, Melayu sendiri memperlekehkan Melayu. Kita jadi takut bila seseorang membahan bangsa Melayu, kita jadi takut untuk pertahankan kerana kita tiada idea, tiada mitologi, tiada sesuatu yang berdiri dalam jiwa kita.

Kita hanya membiarkan sahaja orang lain bahkan kaum kita sendiri mentertawakan budaya bangsa. Sampai bila nak macam ni?

Dulu aku dan seorang kawan pernah nak usahakan diri untuk menulis sebuah novel mitologi, malangnya aku gagal kerana tiada inspirasi dari cerita bangsa sendiri.

Setiap cerita adalah inspirasi daripada cerita yang lain. Macam mana aku nak tulis sebuah cerita epik mitologi Melayu, kalau apa yang aku ada cuma Game of Thrones dan Fong Sai Yuk, yang takde kaitan dengan mitologi Melayu?
Mana hilangnya pendekar Melayu? Mana hilangnya pendekar Melayu? Reviewed by cikguzim on Isnin, Mei 20, 2019 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.